PERHATIKAN DARIPADA SIAPA KAMU MENGAMBIL ILMU

{cσяεтαη : A@G, кσтα кιηαвαℓυ}

Assalamualaikum wr. wb

الحمد لله نستعينه ونستغفره، ونعوذ بالله من شرور أنفسنا ومن سيّئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضلّ له، ومن يضلل فلا هادي له، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أنّ محمدا عبده ورسوله

Dari Mu’awiyah bin Abi Sufyan Radhiallahu anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ

“Barangsiapa Allâh kehendaki baginya kebaikan maka Dia akan menjadikannya faham (berilmu) tentang (urusan) agama (Islam)” [1]

Dalam hadith sahih lain, iaitu dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيْقًا يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيْقًا إِلَى الْجَنَّةِ

“Barangsiapa menempuh suatu jalan dengan tujuan untuk menuntut ilmu (agama), maka Allâh akan mudahkan baginya jalan menuju Surga” [2]

Imam Ibnul Qayyim rahimahullah berkata, “Hadith di atas (yang pertama) menunjukkan bahawa orang yang tidak difahamkan dalam urusan agama maka bererti Allah Ta’ala tidak mengkehendaki kebaikan bagi dirinya” [3]

Dan tentu saja, pemahaman agama yang dimaksud di sini adalah ilmu yang bermanfaat (Al Qur’an dan Hadith) untuk seseorang itu mengamalkan serta mewariskan amal soleh yang menepati ajaran islam yang sebenarnya. Lantas memastikan dia beramal dengan konsep Ittiba’ dan bukannya dengan mengikuti secara buta tuli (taqlid).

Ittiba’ adalah mengikuti semua yang diperintahkan atau yang dilarang dan yang dibenarkan oleh Rasulullah SAW. Sepakat ulama berpendapat bahawa ittiba’ adalah :

Menerima atau mengikuti pendapat perbuatan seseorang dengan mengetahui dasar pendapat atau perbuatannya itu“.

Hukum bagi ittiba’ adalah wajib kerana Allah SWT telah mengajarkan kepada Rasulullah SAW segala-galanya daripada perkara yang besar sehinggalah kepada perkara yang sekecil-kecilnya.

Dan seseorang muslim itu wajib beriman dan beramal dengan apa yang Allah SWT telah turunkan dan dengan apa yang telah diajarkan serta ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dalam sunnah dan hadith-hadithnya yang sahih sahaja.

Allah SWT merakamkan perkataan Rasulullah SAW dalam surah Ali Imran : ayat 31 untuk direnung dan difikirkan kepada setiap muslimin dan muslimat bahawasanya mencontohi segala perbuatan Rasulullah SAW dalam beramal ibadah adalah sangat dituntut dan wajib hukumnya.

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Ertinya : “Katakanlah jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengampuni dosa-dosamu“.
[Surah Ali Imran : 31]

Ini bermaksud ittiba’ harus kepada al-Qur’an, iaitu dengan mengikutinya dan mengamalkan kandungannya serta berittiba‘ kepada Rasul, iaitu dengan meneladani, mencontohi dan mengikuti jejak sunnah baginda SAW.

Di antara adab dan syarat yang paling penting dalam hal ini ialah mengetahui sumber pengambilan ilmu yang benar dan memahami siapa yang layak untuk dijadikan sebagai rujukan dan guru dalam menimba ilmu agama.

Ertinya, janganlah kamu mengambil ilmu agama dari sembarang orang, kecuali orang yang telah kamu yakini keahlian dan kepantasannya untuk menjadi tempat mengambil ilmu.[4]

Kebanyakan kaum muslimin hari ini lebih teliti dan berhati-hati dalam memilih sumber rujukan mereka dalam urusan-urusan keduniaan, contohnya, ketika mereka ingin tahu tentang kesihatan atau penyakit mereka, maka mereka akan sangat teliti dengan hanya mencari dan memilih doktor yang hebat dan terkenal serta berpengalaman.

Bahkan jika hendak membaiki kenderaan pun mereka akan sangat cerewet dan hanya mencari mekanik yang benar-benar ahli, terkenal serta banyak pengalaman dan juga memiliki teknologi serta fasiliti yang lengkap.

Namun dalam urusan agama, mereka kebanyaknnya begitu bersahaja dalam mencari sumber rujukan dan ilmu agama. Majoriti mereka akan memilih guru agama atau penceramah yang hanya kerana individu tersebut pandai melucu dan melawak, atau juga hanya kerana individu tersebut begitu popular dan sering muncul di layar television.

Mereka memilih guru mereka hanya mempertimbangkan keindahan fizikal dan populariti sahaja tanpa menyemak apa yang disampaikan dan didengar itu benar atau salah. Kebanyakan mereka dalam beragama serta beramal ibadah hanya mengikuti sahaja apa yang dilihat serta dilakukan oleh orang ramai hingga adakalanya adukkan agama dengan adat dalam ibadah mereka. Gejala ini dipanggil Taqlid.

Golongan ini melakukan amal ibadah tanpa mengetahui apakah benar apa amal ibadah mereka itu sama seperti apa yang dituntut dalam syariat islam dan sepertimana yang dituntut dalam qur’an dan sunnah.

Taqlid menurut bahasa adalah meniru dan jika menurut istilah ia adalah :

Menerima atau mengikuti pendapat perbuatan seseorang tanpa mengetahui dasar pendapat atau perbuatannya itu“.

Taqlid adalah perbuatan yang tercela dalam agama (Islam) terutama bagi orang yang mempunyai kemampuan beristidlal yakni (menentukan dalil untuk menetapkan sesuatu keputusan atau menetapkan sesuatu dalil dari nash Al Qur’an dan As Sunnah atau dari ijmak atau dari kedua-duanya).

Firman Allah SWT :

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۗ أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ

Ertinya : “Dan apabila telah dikatakan kepada mereka : ikutilah apa yang diturunkan Allah, mereka menjawab : “(tidak) akan tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami”. (Apakah mereka akan mengikuti juga) walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui sesuatu apapun dan tidak mendapat petunjuk“.
[Surah Al-Baqarah : 170]

Harus diingat bahawa syarat untuk ibadah kita diterima disisi Allah SWT adalah dengan terpenuhinya dua syarat, iaitu:

> Ikhlas kerana Allah.

> Ittiba, yakni mengikuti tuntunan Nabi SAW.

Al Fudhail bin ‘Iyadh berkata, “Apabila amal dilakukan dengan ikhlas namun tidak menepati ajaran Nabi SAW, maka amalan tersebut tidak akan diterima. Begitu pula, apabila suatu amalan dilakukan mengikuti ajaran Rasulullah SAW namun tidak ikhlas, amalan tersebut juga tidak akan diterima. Amal ibadah diterima jika syarat ikhlas dan ittiba dipenuhi yakni amal ibadah yang ikhlas dikerjakan semata-mata kerana Allah dan bertepatan dengan ajaran Nabi SAW”. [5]

Abdullah bin ‘Abdil ‘Aziz bin Ahmad At Tuwaijiri [6] berkata, “di antara sebab-sebab muncul dan berlakunya amal ibadah tanpa tuntutan adalah seperti berikut” :-

(01) – Tidak memahami dalil dengan benar.

(02) – Tidak mengetahui tujuan syariat.

(03) – Menganggap suatu amalan baik dengan akal semata.

(04) – Mengikuti hawa nafsu semata ketika beramal.

(05) – Berbicara tentang agama tanpa ilmu dan dalil.

(06) – Tidak mengetahui manakah hadith sahih dan dhaif (lemah), dan mana hadith yang boleh diterima dan mana hadith yang ditolak atau tidak boleh digunakan untuk beramal.

(07) – Mengikuti ayat-ayat qur’an dan hadith yang samar.

(08) – Memutuskan hukum dari suatu amalan dengan cara yang keliru, tanpa petunjuk dari syariat.

(09) – Bersikap ghuluw (ekstrim) terhadap individu tertentu (ustaz, guru, sheikh dan sebagainya). Oleh itu, jika apapun yang dikatakan oleh individu berkenaan dia pun mengikutinya. Walaupun pernyataan dan pendapat individu itu mengelirukan serta menyelisihi dalil.

 

Akhir kata, ingatlah bahawa tidak cukup seseorang itu melakukan amal ibadah dengan hanya dasar *”niat baik”*, seharusnya setiap orang islam melakukan ibadahnya sesuai dan menepati ajaran Al Qur’an dan Sunnah Nabi SAW.

Allahu a’lam,

سبحانك اللهم وبحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت أستغفرك وأتوب إليك

Sekian, wassalam

Rujukan :

[1] HSR. Al-Bukhâri, no. 2948 dan Muslim, no. 1037
[2] HSR. Muslim, no. 2699
[3] Miftâhu Dâris Sa’âdah, 1/60
[4] Lihat penjelasan Imam al-Munawi dalam Faidhul Qadîr , 2/545 dan 6/383
[5] Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, Ibnu Rojab Al Hambali, Darul Muayyid, cetakan pertama, 1424 H.
[6] Al Bida’ Al Hauliyah, ‘Abdullah bin ‘Abdil ‘Aziz bin Ahmad At Tuwaijiri, hal. 37-68, Darul Fadhilah, cetakan pertama, 1421H.