HUKUM LELAKI BERAMBUT PANJANG & MEMAKAI TOPI KETIKA SOLAT

Sumber : Ustaz Ahmad Adnan Fadzil 

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya mempunyai sedikit kemusykilan tentang pemakaian ketika solat.Terutama pada bahagian atas kepala. 

Saya seorang yang gemar berambut panjang namun ada segelintir yang mengatakan jika rambut panjang maka ia akan jatuh kepada haram. Adakah perkara ini benar?

Dan satu lagi ustaz, tentang pemakaian topi ketika solat. Saya sering memakai topi salji@snowcap yg kelihatan seperti anak tudung bagi wanita. Persoalannya adakah salah jika saya mengenakannya untuk digunakan sebagai pengganti songkok@kopiah memandangkan rambut saya panjang dan khuatir jatuh di bahagian dahi dan menyebabkan solat itu terbatal?

Itu sahaja ya Ustaz,harap ustaz sudi menjawab soalan saya ini.


Jawapan :

1. Lelaki ingin menyimpan rambut panjang; tidaklah dilarang agama kerana rambut Nabi -shallallahu ‘alaihi wasallam- sendiri adakalanya beliau membiarkan panjang hingga ke bahu. Dalam Soheh al-Bukhari, terdapat hadis dari Anas yang menceritakan; “Rambut Rasulullah mencecah dua bahunnya” (Soheh al-Bukhari, kitab al-Libas, bab al-Ja’di, hadis no. 5452). 

Walau bagaimanapun, hendaklah dipastikan gaya rambut tidak menyerupai orang kafir atau orang-orang fasik kerana Nabi bersabda; “Sesiapa menyerupai suatu kaum, ia dari kalangan mereka” (HR Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar. Lihat; Sunan Abi Daud, kitab al-Libas, bab Fi Lubsi as-Syuhrah, hadis no. 3512).

2. Memakai kopiah tidaklah menjadi syarat sah solat. Harus mengerjakan solat dengan memakai kopiah atau tanpa memakainya. Begitu juga, memakai selain kopiah (topi dan sebagainya) tidaklah membatalkan solat jika ia bersih. 

Walau bagaimanapun, pakaian kita ketika solat hendaklah menggambarkan kesopanan kita di hadapan Allah. Jika topi yang saudara pakai itu topi yang elok, bersih, kemas dan nampak bersopan, tidak mengapa saudara memakainya ketika solat. Jika tidak, baiklah saudara menanggalnya ketika solat sekalipun saudara solat tanpa memakai apa-apa di atas kepala. Jika saudara tetap memakainya tidaklah akan membatalkan solat, cuma masalah kesopanan sahaja.

Wallahu a’lam.

By Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

  ==================

[Sedikit perkongsian sebagai nota tambahan]

Al-Albani berkata: “Menurut pendapatku, sesungguhnya solat dengan tidak memakai tutup kepala hukumnya adalah makruh. Kerana merupakan sesuatu yang sangat disunnahkan jika seorang muslim melakukan solat dengan memakai busana islami yang sangat sempurna, sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadits: “Kerana Allah paling berhak untuk dihadapi dengan berhias diri.” (Permulaan hadis di atas adalah: “Jika salah seorang dari Kalian mengerjakan solat, maka hendaklah dia memakai dua potong bajunya. Kerana sesungguhnya Allah paling berhak dihadapi dengan berhias diri.”).

Diriwayatkan oleh al Thahawi di dalam Syarh Mas’aani al Aatsaar ( I / 221 ), al Thabarani dan al Baihaqi di dalam al Sunan al Kubra ( II / 236 ) dengan kualiti sanad yang hasan.

Fatwa Al Lajnah Ad Daimah lil Buhuts Al ‘Ilmiyyah wal Ifta’, no. 9422, 24/45

Perlu diketahui bahwa kepala lelaki bukanlah aurat dan tidak disunnahkan untuk ditutup baik di dalam solat mauhupun di luar solat. Boleh saja seorang lelaki mengenakan ‘imamah atau songkok dan boleh juga ia membiarkan kepalanya tanpa penutup kepala dalam solat atau pun dalam keadaan lainnya. Dan perlu diperhatikan bahwa tidak perlu sampai seseorang menjelek-jelekkan orang lain atau melecehkannya dalam hal ini.

Wallahua’lam

By Admin 

​Assalamualaikum wbt,Boleh al-Fadhil SS Mufti berikan penjelasan berkenaan hukum isbal bagi lelaki?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Dalam perbahasan fiqh, perkataan “isbal” boleh merujuk kepada pelbagai maksud. Sebahagian ulama merujuk istilah ini kepada perbuatan melepaskan tangan sewaktu membaca al-Fatihah semasa solat. Inilah pegangan sebahagian ulama dalam mazhab Maliki yang berbeza dengan qaul jumhur yang meletakkan hukum sunat untuk bersedekap, yakni meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri.

Isbal juga, kebiasaannya, merujuk kepada perbuatan seseorang melabuhkan pakaiannya, seperti jubah atau seluar, melebihi paras buku lali ke bawah. Perbuatan ini tidak ada masalah bahkan digalakkan bagi kaum wanita bagi menutup aurat mereka, tetapi bagi kaum lelaki, ulama berbeza pandangan.

Daripada Abu Dzar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Tiga jenis manusia yang Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka pada Hari Kiamat, tidak juga melihat (yakni, mengendahkan) kepada mereka, tidak menyucikan mereka, dan bagi mereka azab yang pedih. Rasulullah SAW menyebut itu tiga kali. Lalu Abu Dzar berkata: Habislah dan rugilah mereka! Siapa mereka itu wahai Pesuruh Allah? Jawab Baginda: Orang yang melakukan isbal, dermawan (yang berbangga-bangga dengan pemberian), dan peniaga barang yang bersumpah palsu. (Hadis riwayat Muslim:106)

Sebahagian ulama menyebut sebab pengharaman isbal kerana perbuatan ini merujuk kepada suatu adat jahiliyyah bagi golongan bangsawan yang melabuhkan pakaian mereka meleret ke belakang sampaikan dijinjing oleh hamba-hamba mereka. Sifap ini melambangkan ketakburan dan menunjuk-nunjuk kekayaan. Sifat ini juga menafikan sifat tawaduk.

Ini bertepatan dengan firman Allah Taala:

Maksudnya: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (Surah al-Isra’, 17:37)

Perlu diperhatikan di sini adakah larangan ini menunjukkan larangan bersifat ta`abbudi seperti ibadah khas atau mahdhah atau dalam perkara keduniaan yang terikat dengan illah. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menghuraikan perkara ini dalam kitabnya Bagaimana Kita Berinteraksi dengan Sunnah Nabawiyyah halaman 124-125, dengan menaqalkan hadis lain daripada Abdullah bin Umar R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang melabuhkan  pakainnya secara sombong, maka Allah tidak akan melihat kepadanya pada Hari Kiamat.” Maka berkata Abu Bakar (R.A): “Sesungguhnya sebelah pakaianku meleret ke bawah jika aku tidak menjaganya.” Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya engkau tidak melakukan demikian itu dengan kesombongan.” (Hadis riwayat al-Bukhari :3665).

Al-Qaradhawi juga menyebut tarjih yang dilakukan oleh Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-Asqalani bahawa perbuatan haramnya isbal itu dikaitkan dengan sifat (خيلاء) yakni menyombong.

Justeru, apabila dibaca nas-nas yang berkaitan, kesimpulan yang diperoleh ialah, jika kebiasaan seseorang, dan masyarakatnya, melakukan isbal tanpa bertujuan sombong dan kemegahan maka ini terkecuali daripada larangan dalam hadis tersebut.  

Wallahua`lam

#SS Mufti Wilayah Persekutuan 

Sumber: Al Kafili Al Fatawi 

Haram Main Forex Online

​GEORGE TOWN: Jabatan Mufti Perlis mengeluarkan fatwa melarang perdagangan dalam pertukaran mata wang asing atau forex dalam talian.

“Perdagangan forex dalam talian perlu dihentikan segera.

“Kami mendapati platform forex, sama ada di dalam atau luar negara adalah haram,” kata Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

Beliau berkata, secara amnya, pertukaran mata wang asing membabitkan wang tunai dibenarkan kerana ia adalah pertukaran satu-kepada-satu dan serta-merta.

Bagaimanapun, katanya, spekulasi dan perdagangan forex dalam talian adalah haram berdasarkan beberapa sebab.

Beliau berkata, sebab utama ialah kekurangan tunai sebenar melalui “hakiki atau hukmi”, selain wujud unsur riba yang dimanfaatkan melalui kemudahan seperti pinjaman tunai ditawarkan platform forex.

“Terdapat juga unsur maisir (judi) yang mendedahkan pedagang kepada peluang keuntungan atau risiko kerugian kerana bergantung kepada spekulasi pergerakan nilai mata wang di luar kawalan, usaha dan pengaruh pihak yang berurus niaga.

“Unsur gharar (ketidakpastian) juga wujud bagi penyedia platform dan kekurangan undang-undang memantau perdagangan serta kesahihan transaksi,” katanya.

Difahamkan, fatwa itu akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.

Hukum Pertandingan Memancing 

​Ustaz sudah dijelaskan bahawa sebarang pertandingan yang menggunakan wang penyertaan untuk hadiah adalah berjudi dan haram, antaranya adalah pertandingan memancing. Ditempat saya terdapat sebuah kolam ikan yang menjalankan perniagaan dimana setiap pemancing dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 dan ianya seperti kebanyakan kolam lain. Tetapi pemilik kolam ini akan memberi hadiah kepada pemancing yang memancing ikan terberat dan teringan iaitu beberapa peratus dari kutipan yang diperolehi pada hari tersebut. Keadaan ini adalah bagi setiap hari dan tidak dihadkan pada hari tertentu. Peratus hadiah juga tetap dan tidak berubah mengikut hari atau keramaian. Waktu memancing hanya di sebelah malam iaitu pada pukul 8.00pm – 12.00pm dan ini dapat memastikan semua yang memancing berhak ke atas hadiah tersebut. Ikan yang dapat dipanjing adalah milik pemancing. Operasi pemberian hadiah ini tidaklah saya ketahui samada sejak kolam ini dibuka atau selepas menghadapi masalah kehadiran pemancing kerana sejak saya tahu ujudnya kolam ini operasinya sedemikian rupa. Soalannya :

1. Adakah hasil hadiah ini termasuk dalam kategori judi?

2. Adakah dengan niat saya masuk untuk dapatkan hadiah tersebut dengan memilih hari orang ramai memancing sebagai judi? Jazakallah dan maaf atas panjangnye cerita sebab tak tau nak ringkaskan.
Jawapan;

Bayaran RM20 itu yang menjadi persoalan;

1. Jika tujuannya sebagai bayaran sewa tempat dan perkhidmatan, insya Allah ia adalah harus. Harus seseorang menyewakan rumah, tanah dan benda-benda lain miliknya untuk orang lain bagi tujuan yang diharuskan Syarak seperti untuk kediaman, pejabat, kilang, tempat riadhah dan reakresi dan sebagainya.

2. Jika RM20 itu adalah sebagai bayaran kepada ikan yang mungkin diperolehi pengail dari kolamnya, maka muamalat tersebut terbabit dengan gharar yang diharamkan Syarak. Menurut hadis dari Abu Hurairah r.a.; “Rasulullah s.a.w. menegah daripada jualan secara gharar” (HR Imam Ahmad dan Muslim). Gharar ialah menjalankan urus-niaga dalam kesamaran iaitu tanpa kepastian barang/produk yang terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Dalam kes di atas, orang yang membayar RM 20 itu belum pasti jumlah ikan yang bakal diperolehinya; banyak atau sikit atau mungkin juga tidak dapat langsung. Menurut Imam Ibnu Qaiyim; “Gharar ialah suatu yang tidak dapat dipastikan sama ada ia wujud atau tidak. Maka ditegah jualan gharar (yakni jualan suatu yang tidak pasti) kerana ia tergolong dalam jenis qimar (pertaruhan) yang merupakan perjudian…di mana terjadinya qimar (pertaruhan) itu kerana satu pihak sudah pasti akan memperolehi harta tukarannya, sementara satu pihak lagi belum pasti sama ada akan memperolehi harta tukarannya atau tidak. (Lihat; Mu’jam Al-Mustalahat Al-Iqtisadiyyah Fi Lughatil Fuqahak, Dr. Nazih Hamad)

3. Jika RM 20 itu tujuannya ialah untuk hadiah, yakni diambil darinya (keseluruhan atau sebahagiannya) untuk pemberian hadiah kepada pemenang, maka ia adalah pertaruhan atau perjudian yang dilarang Syarak sebagaimana dijelaskan sebelum ini.
By Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

PERHIASAN; BILA WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT

​Ustaz, adakah barang emas yang saya pakai dikenakan zakat? Bagaimana cara mengira zakatnya?
Jawapan;

Menurut jumhur ulamak (mazhab Maliki, Syafiie dan Hanbali); emas yang dipakai wanita sebagai perhiasan -walaupun dipakai sekali dalam setahun- tidak dikenakan zakat, kecuali jika berlebihan barulah dikenakan zakat. Maksud berlebihan ialah yang melebihi kadar yang biasa dipakai oleh wanita-wanita setempat (yakni kadar uruf setempat), iaitu yang diputuskan oleh fatwa negeri-negeri seperti berikut;

1. Selangor; 800 gram

2. Wilayah Pesekutuan; 150 gram emas

3. Johor; 850 gram emas

4. Pulau Pinang; 165 gram

5. Sabah; 152 gram.

6. Negeri Sembilan; 200 gram

7. Kedah; 85 gram

8. Perak; 500 gram

9. Trengganu; 850 gram

10. Melaka; 180 gram

11. Kelantan; tiada ‘uruf

12. Pahang; 500 gram

13. Perlis; tiada penetapan ‘uruf (kerana fatwa negeri Perlis memakai pandangan Imam Abu Hanifah yang mewajibkan zakat ke atas semua emas yang dimiliki termasuk perhiasan).

Yang perlu dikira dalam penentuan kadar uruf itu ialah emasnya sahaja, tidak termasuk batu permatanya. Maka jika perhiasan emas yang dimiliki dan dipakai melebihi kadar di atas (mengikut negeri masing-masing) wajiblah dikeluarkan zakat ke atas kadar berlebihan bila cukup tempoh tahunannya. Kadar yang wajib dikeluarkan ialah; 2.5%. 

Contohnya; bagi wanita yang tinggal di Wilayah Persekutuan, katalah dia memiliki emas yang dipakai yang berat keseluruhan; 200 gram, maka perkiraan zakatnya ialah;

* 250 gram emas (berat emas yang dipakai) – 150 gram emas (iaitu kadar pemakaian uruf) = 100 gram (perhiasan yang masuk dalam hitungan zakat). 

Kadar zakat dikenakan; 100 gram x harga semasa emas x 2.5 %.

Katakanlah; harga semasa emas bagi 1 gram ialah RM 150, maka kadar zakatnya ialah;

100 gram emas x RM 150 x 2.5% = RM 375.

Adapun perhiasan emas yang tidak dipakai dalam setahun -walaupun sekali- ia mengambil hukum emas simpanan dan wajib dibayar zakat iaitu dengan dihitung bersama emas-emas yang lain jika ada (dinar emas, jongkong emas, emas perhiasan yang berlebihan tadi dan sebagainya) dan aset kewangan yang lain (saham, wang simpanan dan sebagainya) dan dikeluarkan zakatnya 2/5% jika nilai keseluruhannya menyamai atau melebihi 85 gram emas (iaitu kadar nisab zakat emas).

Huraian di atas adalah mengikut pandangan jumhur mazhab. Adapun menurut mazhab Hanafi, keseluruhan emas dikenakan zakat termasuk perhiasan sama ada perhiasan yang dipakai atau disimpan, yang berada dalam kadar ‘uruf tadi atau yang berlebihan. Untuk membaca lebih lanjut perbahasan ulamak tentangnya, sila baca jawapan saya sebelum ini; (PERHIASAN; BILA WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT?).
Rujukan;

1. Zakat Selangor (http://www.zakatselangor.com.my/jenis-jenis-zakat/zakat-harta/zakat-emas-perak/).
2. Wilayah Persekutuan (https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-zakat/zakat-emas)

3. Zakat Johor (http://www.maij.gov.my/?page_id=110).

4. Zakat Pulau Pinang (http://www.zakatpenang.com/zpp/index.php/2013-06-30-10-54-31/jenis-zakat/zakat-emas-perak).

5. Zakat Sabah (http://www.zakat.sabah.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=30&Itemid=157&lang=en).

6. Zakat Negeri Sembilan (http://www.zakatns.com.my/v5/info-zakat/jenis-zakat/zakat-emas-dan-perak).

7. Zakat Kedah (http://www.zakatkedah.com/services/zakat-emas/).

8. Zakat Perak (http://www.maiamp.gov.my/maiamp2/index.php/zakat/kalkulator/kalkulator-zakat-emas-perak.html).

9. Zakat Terengganu (http://www.maidam.gov.my/index.php/index.php/perkhidmatan-kami/pungutan-zakat/384-zakat-emas).

10. Zakat Melaka (http://www.izakat.com/index.php?option=com_content&view=article&id=7&Itemid=12&lang=bm).

11. Fatwa zakat emas Perlis (http://mufti.perlis.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=66:muamalat-nilai-emas-yang-boleh-dihukum-pakaian&catid=34:fatwa-muamalat&Itemid=92

10 FATWA-FATWA IMAM SYAFI’I YANG PERLU DIKETAHUI

10 FATWA-FATWA IMAM SYAFI’I 
Ramai yang mengaku bermazhab Syafi’e dan mengakui mengikuti serta mempraktikkan Islam berdasarkan istinbat hukum oleh imam asy-Syafi’i. Namun, hakikatnya, ramai yang keliru kerana banyak fatwa-fatwa imam asy-Syafi’i yang tidak kita ketahui malah kita mengabaikannya. Padahal semua fatwa-fatwa itu adalah sangat penting dan berkaitan sekitar isu aqidah dan persoalan i’tiqad. 

Dengan itu, sama-sama lah kita teliti semula beberapa fatwa-fatwa beliau tersebut dan sama-sama kita muhasabah diri. Fatwa-fatwa ini hanyalah sebahagian kecil dari sejumlah fatwa atau pendapat imam asy-Syafi’i sahaja. Ianya diambil daripada buku/kitab berjudul “Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah”, karya/susunan Dr. Muhammad bi Abdil-Wahab al-’Aqil.Sama-sama kita teliti.

1 – MERATAKAN KUBURAN

Imam asy-Syafi’e rahimahullah menyatakan:

“Saya suka kalau tanah kuburan itu tidak ditinggikan dan selainnya dan tidak mengambil padanya dan tanah yang lain. Tidak boleh,apabila ditambah tanah dan lainnya menjadi tinggi sekali, dan tidak mengapa jika ditambah sedikit saja sekitar. Saya hanya menyukai ditinggikan (kuburan) di atas tanah satu jengkalatau sekitar itu dari permukaan tanah”. (SyarahMuslim 2/666, Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 1/257)

2 – HUKUM MEMBANGUNKAN BANGUNAN/BINAAN DI KUBURAN

“Saya suka bila (kuburan) tidak dibuat binaan dan bangunan, kerana itu menyerupai penghiasan dan kesombongan, dan kematian bukan tempat bagi salah satu dari keduanya.Dan saya tidak melihat kuburan para sahabat Muhajirin dan Anshar didirikan sebarang binaan. Seorang perawi menyatakan dari Thawus,bahawa Rasulullah s.a.w. telah melarang kuburan dibinakan binaan atau ditembok. Saya sendiri melihat sebahagian penguasa di Makkah menghancurkan semua bangunan di atasnya(kuburan), dan saya tidak melihat para ahli fikih mencela hal tersebut. (al-Umm 1/277. ManhajImam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 1/258)

3 – HUKUM MEMBINA MASJID DI TEMPAT YANG ADA KUBUR

“Saya melarang dibinakan masjid di atas kuburan dan disejajarkan atau dipergunakan untuk solat di atasnya dalam keadaan tidak rata atau solat menghadap kuburan. Apabila ia solat menghadap kuburan, maka masih sah namun telah berbuat dosa”. (al-Umm 1/278. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 1/261)

4 – PERSOALAN FITNAH KUBUR

“Sesungguhnya Azab kubur itu benar dan pertanyaan malaikat terhadap ahli kubur adalah benar.” (al-I’tiqad karya Imam al-Baihaqiy. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah,2/420)

5 – PERSOALAN HISAB, SYURGA, DAN NERAKA

“Hari kebangkitan adalah benar, hisab adalah benar, syurga dan neraka serta selainnya yang sudah dijelaskan dalam sunnah-sunnah (hadis-hadis), lalu ada pada lisan-lisan para ulama dan pengikut mereka di negara-negara musliminadalah benar.” (Manaqib asy-Syafi’i, karya Imam al-Baihaqiy, 1/415. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/426)

6 – BERSUMPAH DENGAN NAMA SELAIN NAMA ALLAH

“Semua orang yang bersumpah dengan nama selain Allah, maka saya melarangnya dan mengkhuwatirkan pelakunya, sehingga sumpahnya itu adalah kemaksiatan. Saya juga membenci bersumpah dengan nama Allah dalam semua keadaan, kecuali hal itu adalah ketaatan kepada Allah, seperti berbai’at untuk berjihaddan yang serupa dengannya.” (al-Umm 7/61.Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah,1/271)

7 – PERNYATAAN TENTANG SYAFA’AT

“Beliau (Rasulullah s.a.w.) adalah manusia terbaik yang dipilih Allah untuk menyampaikan wahyu-Nya lagi terpilih sebagai Rasul-Nya dan yang diutamakan atas seluruh makhluk dengan membuka rahmat-Nya, penutup kenabian, dan lebih menyeluruh dan ajaran para rasul sebelumnya. Beliau ditinggikan namanya di dunia dan menjadi pemberi syafa’at, yang syafa’atnya dikabulkan di akhirat.” (ar-Risalah 12-13. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 1/291) Beliau juga menyatakan tentang syarat diterimanya syafa’at:

“Semalam saya mengambil faidah (istimbath)dari dua ayat yang membuat saya tidak tertarik kepada dunia dan yang sebelumnya. Firman Allah: “…Dia bersemayam di atas ‘Arsy(singgasana) untuk mengatur segala urusan.Tiada seorang pun yang akan memberi syafa’at kecuali sesudah ada keizinan-Nya….” (SurahYunus, 1O: 3).

Dan dalam kitabullah, hal ini banyak: “Siapakah yang dapat memberi syafaat di sisi Allah tanpa izin-Nya?” (Surah al-Baqarah,2: 256)

Syafa’at tertolak kecuali dengan izin Allah.” (Ahkamul Qur’an 2/180-181. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 1/291)

8 – PENDIRIAN BERKENAAN ASMA’ WA SIFAT ALLAH

Imam Syafi’e rahimahullah menjelaskan melalui riwayat yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu:

“Bagi-Nya dua tangan sebagaimana firman-Nya:(Tidak demikian), tetapi kedua-dua tangan Allah terbuka. Bagi-Nya tangan sebagaimana firman-Nya: Langit digulung dengan tangan kanan-Nya. Allah mempunyai wajah sebagaimana firman-Nya: Setiap sesuatu akan binasa kecuali Wajah-Nya. Baginya kaki sebagaimana sabda Nabi saw:

Sehinggalah Dia meletakkan wajah dan KakiNya. Dia mempunyai jari sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam:  Tiadalah hati itu kecuali antara jari-jari dari jari-jari Ar-Rahman (Allah). Kami menetapkan sifat-sifat ini dan menafikan dari menyerupakan sebagaimana dinafikan sendiri oleh Allah sebagaimana difirmankan: (Tiada sesuatu yang semisal dengan-Nya dan Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat)”. 

(Lihat: I’tiqad Aimmah al-Arba’ah Abi Hanifah wa Malik wa Syafi’e wa Ahmad, m/s.46- 47, Cetakan pertama, 1412 -1992M. Darul’Asimah Saudi Arabia)

Imam Syafi’e seterusnya menjelaskan:

“Dan Allah Ta’ala di atas ‘Arasy-Nya (Dan ‘Arasy-Nya) di langit”. (Lihat: I’tiqad Aimmah al-Arba’ah, Abi Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad,m/s. 40)

Imam Syafi’e seterusnya menjelaskan lagi:

“Kita menetapkan sifat-sifat (mengithbatkan sifat-sifat Allah) sebagaimana yang didatangkan oleh al-Quran dan yang warid tentangNya dari sunnah, kami menafikan tasybih (penyerupaan) tentangNya kerana dinafikan oleh diriNya sendiri sebagaimana firmanNya (Tiada sesuatu yang semisal denganNya)”. (Lihat: I’tiqad Aimmah al-Arba’ah, Abi Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad, m/s. 42)

Imam Syafi’e telah menjelaskan juga tentang turun naiknya Allah Subhanahu wa-Ta’ala:

“Sesungguhnya Dia turun setiap malam ke langit dunia (sebagaimana) menurut khabar dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam”.(Lihat:I’tiqad Aimmah al-Arba’ah, Abi Hanifah, Malik,Syafie wa Ahmad, m/s. 47)

Berkata Imam Syafi’e rahimahullah:

“Sesungguhnya Allah di atas ‘Arasy-Nya dan‘Arasy-Nya di atas langit” (Lihat: Iktiqad Aimmah al-Arba’ah, Abi Hanifah, Malik, Syafie wa Ahmad. Hlm. 179)

Ibnu Taimiyah, Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan Imam Syafi’e ada kesepakatannya dalam meyakini tentang turun-naiknya Allah iaitu

berlandaskan hadis:

“Tuhan kita turun ke langit dunia pada setiap malam apabila sampai ke satu pertiga dari akhir malam, maka Ia berfirman: Sesiapa yang berdoa akan Aku perkenankan, sesiapa yang memintaakan Aku tunaikan dan sesiapa yang meminta keampunan akan Aku ampunkan”. (H/R Bukhari(1141), Muslim (758), Abu Daud (4733), Tirmizi(4393), Ibn Majah (1366) dan Ahmad (1/346))

9 – SIKAP IMAM ASY-SYAFI’E TERHADAP SYI’AH

Dari Yunus bin Abdila’la, beliau berkata: Saya telah mendengar asy-Syafi’i, apabila disebut nama Syi’ah Rafidhah, maka ia mencelanya dengan sangat keras, dan berkata: “Kelompok terjelek! (terhodoh)”. (al-Manaqib, karya al-Baihaqiy, 1/468. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/486)

“Saya belum melihat seorang pun yang paling banyak bersaksi/bersumpah palsu (berdusta) dari Syi’ah Rafidhah.” 

(Adabus Syafi’i, m/s. 187, al-Manaqib karya al-Baihaqiy, 1/468 dan Sunan al-Kubra, 10/208. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/486)

“asy-Syafi’i berkata tentang seorang Syi’ah Rafidhah yang ikut berperang: “Tidak diberi sedikit pun dari harta rampasan perang, kerana Allah menyampaikan ayat fa’i (harta rampasan perang), kemudian menyatakan: Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshar), mereka berdoa: “Ya Rabb kami,beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami”. (Surah al-Hasyr, 59: 10) maka barang siapa yang tidak menyatakan demikian, tentunya tidak berhak (mendapatkan bahagian fa’i).” (at-Thabaqat, 2/117. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/487)

10 – SIKAP IMAM ASY-SYAFI’E TERHADAP KAUM(ORANG-ORANG) SUFI

“Seandainya seorang menjadi sufi (bertasawwuf)di pagi hari, niscaya sebelum datang waktu Zuhur, engkau tidak dapati ia, melainkan telah menjadi orang bodoh.” (al-Manaqib lil Baihaqiy,2/207. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/503)

“Tidaklah seorang sufi menjadi sufi, hingga memiliki empat sifat: malas, suka makan, sering merasa sial, dan banyak berbuat sia-sia.” 

(Manaqib lil Baihaqiy, 2/207. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/504) “Asas tasawwuf adalah kemalasan.” (al-Hilyah 9/136-137. Manhaj Imam asy-Syafi’i fi Itsbat al-Aqidah, 2/504)

APAKAH MAKSUD BERSEDERHANA DALAM ISLAM?

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya agama ini mudah. Tidaklah seseorang memberat-beratkannya melainkan dia akan tewas. Lakukanlah amalan dengan cara yang benar, lakukanlah semampu kalian, dan terimalah berita gembira. Mohonlah pertolongan (Allah) pada waktu pagi, petang dan akhir waktu malam.

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ilm, Bab ad-Din Yusr, hadis no: 39]
Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari menerangkan:

Sentiasa melakukan sesuatu dengan cara yang betul tanpa melampaui batas dan tidak juga dalam keadaan sambil lewa. Ahli bahasa berkata: Al-Saddad ialah sederhana dalam beramal. Jika kalian tidak mampu melakukannya dengan sempurna, maka lakukanlah dengan apa mendekat kepada kesempurnaan.
Ibn Al-Munir berkata:

Pada hadis ini terdapat satu petanda daripada tanda-tanda kenabian. Kita dan orang-orang sebelum kita telah melihat bahawa setiap orang yang melampau dalam beragama akan berhenti daripada beramal.

Bukanlah yang dimaksudkan di sini larangan daripada berusaha mendapatkan kesempurnaan dalam ibadah. Sesungguhnya menyempurnakan ibadah adalah daripada perkara yang terpuji.

Akan tetapi ia adalah larangan kepada melampaui batas yang membawa kepada bosan untuk beribadah, atau melampau dalam melakukan perkara sunat sehingga membawa kepada meninggalkan perkara yang lebih utama, atau menyebabkan terbabasnya perkara yang fardhu daripada waktunya seperti orang yang solat sunat pada keseluruhan malam lalu pada hujung malam dia tertidur sehingga menyebabkan dia tidak terjaga untuk bangun solat Subuh berjemaah, atau sehingga dia keluar daripada waktu solat yang afdhal, atau sehingga terbitnya matahari yang menandakan tamatnya waktu solat fardhu.
Kesimpulan:

1- Kita disuruh bersederhana dalam beragama.

2- Maksud sederhana ialah mentaati Allah dengan cara yang betul dan disyariatkan.

3- Walaupun kita tahu kita tidak akan sempurna, kita disuruh berusaha untuk mentaati Allah sebaik yang mungkin.

4- Bersederhana bukanlah bermaksud kita perlu ikut hawa nafsu dan sikap malas kita.
Wallahua’lam.