Silsilah Hadis Dhaif (Lemah) dan Maudhuk (Palsu)

​Hadith No. 5

“Tidaklah seorang hamba meninggalkan sesuatu untuk Allah dan ia tidak meninggalkannya kecuali kerana Allah melainkan Allah menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik baginya dalam urusan agama serta keduniaannya.”

Hadith ini maudhu’. Saya sendiri pernah mendengar kata-kata tersebut diutarakan oleh seorang tokoh yang sedang mengisi acara di radio Damascus pada bulan Ramadhan.

Abu Naim telah mengutarakannya dalam Huliyatul-Auliya II/196, kemudian ia berkata, “Itu hadith gharib (asing).”

Menurut saya, sanadnya maudhu’ (palsu) sebab sesudah az-Zuhri tidak disebutkannya sama sekali dalam kitab-kitab hadith selain Abdullah bin Sa’ad ar-Raqi dan dia dikenal sebagai pendusta. Ad-Daraquthni menyatakannya sebagai pendusta seraya berkata, “Dia adalah pemalsu hadith.”


Hadith No. 6

“Hindarilah debu, kerana darinyalah timbulnya penyakit asma.”

Saya tidak mengetahui sumber hadith yang disebutkan oleh Ibnu Atsir dalam kitab an-Nihayah pada maddah “nasama” tersebut seraya mengatakannya sebagai hadith. Namun, saya mendapati ia tidak menyebutkan sumber aslinya secara marfu’ (sampai sanadnya kepada Rasulullah s.a.w)

Ibnu Saad dalam Thabaqat al-Kubra VIII/198 meriwayatkan bahawa Abdullah bin Saleh al-Mashri berkata, dari Harmalah bin Imran apa yang diceritakan kepada mereka oleh Ibnu Sindir pengikut (budak) Rasulullah s.a.w.. Ia berkata, “Suatu saat datanglah Amr Ibnu Alsh sedang Ibnu Sindir telah bersama sekelompok orang. 

Tiba-tiba orang yang bergerombol bermain-main menebarkan debu ke udara. Amr kemudian menghulurkan imamah (serban)-nya seraya menutupi hidungnya dan berkata ‘Hati-hatilah kalian terhadap debu kerana itu merupakan sesuatu yang paling mudah masuknya dan paling sulit keluarnya. Bila debu telah masuk menembusi paru-paru maka timbullah penyakit asma.”
Jadi di samping riwayat tersebut mauqud (terhenti sampai kepada sahabat) juga sanadnya tidak sahih. 

Alasannya:

1. Ibnu Saad hanya menyandarkan riwayat tersebut tanpa menyebutkan kaitan antara dia dengan Abdullah bin Saleh.

2. Ibnu Saleh itu lemah. Hal ini dinyatakan oleh Ibnu Hibban dan Ibnu Khuzaimah.

3. Kaitan antara Harmalah dengan Ibnu Sindir tidak dijelaskan, kerana itu dikategorikan sebagai Majhul.



Hadith No. 7

“Dua hal janganlah Anda dekati. Menyekutukan Allah dan mengganggu (merugikan) orang lain.”

Riwayat tersebut tidak ada sumbernya. Memang ia sangat masyhur dan menjadi perbicaraan dengan lafazh yang demikian. Namun saya tidak mendapatinya dalam kitab-kitab sunnah.

Barangkali riwayat itu berasal dari kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali II/185, yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Dua hal yang tidak ada sesuatu kejahatan yang melebihinya, iaitu menyekutukan Allah dan memudharatkan hamba-hamba Allah. Dan dua hal yang tidak ada kebaikan melebihinya iaitu iman kepada Allah dan memberi manfaat kepada hamba Allah.”

Hadith tersebut tidak ada dan tidak diketahui sumbernya. Al-Hafidz al-Iraqi dalam merincikan riwayat tersebut mengatakan, “Riwayat tadi telah dipaparkan oleh penulis kitab al-Firdaus dari hadith Ali sedang anaknya tidak menyandarkannya dalam musnadnya. Kerana itu, as-Subuki ;menyatakan bahawa apa yang tercantum dalam Ihya riwayatnya tidak bersajnad.

– Silsilatul ahaadith ad-Dhaifah wal Maudhu’ah oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani

Berbincang-bincang dalam masjid itu meragut pahala-pahala seperti binatang ternakan memakan rumput.

​Hadith No. 4

“Berbincang-bincang dalam masjid itu meragut pahala-pahala seperti binatang ternakan memakan rumput.”

Hadith ini tidak ada sumbernya. Al-Ghazali meriwayatkannya dalam Kitab Ihya’ Ulumiddin I/136, tetapi al-Hafidz al-Iraqi menyatakan, “Saya tidak menemui sumber aslinya”

Abdul Wahhab Taqiyyuddin as-Subuki dalam Kitab Tabaqat asy-Syafi’iyyah IV/145-147 mengatakan dengab tegas, “Saya tidak menemui sanadnya.”

– Silsilatul ahaadith ad-Dhaifah wal Maudhu’ah oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani

Himmah (keteguhan niat) laki-laki dapat meluluhkan (menyingkirkan) gunung-gunung

​Hadith No. 3

“Himmah (keteguhan niat) laki-laki dapat meluluhkan (menyingkirkan) gunung-gunung”

Ini bukan hadith. Syeikh al-Aljuni dalam kitab Kasyful-Khafa berkata, “Saya tidak menyatakannya hadith. Namun ada sebahagian ulama’ yang meriwayatkan dari Syeikh Ahmad al-Ghazali bahawa ia mengatakan, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Himmatur Rijaali taqla’ul jibaala.”

Saya telah merujuk dan meneliti seluruh kitab sunnah namun tidak saya dapat di dalamnya. Adapun apa yang diutarakan Syeikh Ahmad al-Ghazali tentang hadith tersebut tidaklah dapat dibuktikan dan tidak pula dibenarkan sebab ia tidak termasuk pakar hadith.

Namun, ia seperti saudara kandungnya yakni Muhammad al-Ghazali, termasuk fuqaha sufi. Dalam Ihya Ulumuddin ia memang banyak mengutarakan hadith dan menisbatkannya kepada Rasulullah s.a.w., tetapi oleh al-Hafidz al-Iraqi dan lainnya dinyatakan tidak ada sumber asalnya (tidak sahih).

– Silsilatul ahaadith ad-Dhaifah wal Maudhu’ah oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani

Barangsiapa yang tidak mencegah dari keji dan munkar, maka ia tidak menambah sesuatu pun dari Allah s.w.t kecuali kejauhan

​Hadith No. 2

“Barangsiapa yang tidak mencegah dari keji dan munkar, maka ia tidak menambah sesuatu pun dari Allah s.w.t kecuali kejauhan”

Hadith ini batil. Walaupun hadith ini sangat terkenal dan sering menjadi perbicaraan, namun sanad mahupun matannya tidak sahih.

Dari segi sanad, telah diriwayatkan oleh

at-Tabari dalam kitab al-Mu’jam,

al-Qudha’i dalam kitab Musnad asy-Syihab II/43,

Ibnu Hatim dalam Tafsir Ibnu Kathir II/414 dan

kitab al-Kawakib ad-Darari I/2/83, dari Laits, dari Thawus, dari Ibnu Abbas r.a..

Ringkasnya hadith tersebut sanadnya tidak sahih sampai kepada Rasulullah s.a.w, tetapi hanya mauquf (terhenti) sampai kepada Ibnu Mas’ud dan merupakan ucapannya dan juga hanya sampai kepada Ibnu Abbas r.a.

Kerana itu Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam Kitabul Iman halaman 12, tidak menyebut-nyebutnya kecuali sebagai riwayat mauquf yang hanya sampai kepada Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas r.a.

Di samping itu, matannya juga tidak sahih kerana zahirny mencakup siapa saja yang mendirikan solat dengan memenuhi rukunnya. Padahal syara’ tetap menghukuminya sebagai benar atau sah, walaupun pelaku solat tersebut masih suka melakukan perbuatan yang bersifat maksiat.

Jadi, tidaklah benar bila dengannya (yakni solat yang sah) akan makin menjauhkan pelakunya dari Allah s.w.t.

Ini sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak pula dibenarkan dalam syariat. Kerana itu, Ibnu Taimiyyah menakwilkan kata-kata “tidak menambahnya kecuali jauh dari Allah” jika yang ditinggalkan itu merupakan kewajipan yang lebih agung dari yang dilakukannya.

Dan ini bererti pelaku solat tadi meninggalkan sesuatu sehingga solatnya tidak sah, seperti rukun-rukun dan syarat-syaratnya. Kemudian, nampaknya bukanlah solat yang demikian (yakni sah dan benar menurut syarak) yang dimaksudkan dalam hadith mauquf tadi.

Dengan demikian jelaslah bahawa hadith tersebur dhaif, baik dari segi sanad mahupun matannya. Wallahua’lam.

– Silsilatul ahaadith ad-Dhaifah wal Maudhu’ah oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani

Agama adalah akal. Sesiapa yang tidak memilik agama, tidak ada akal baginya.

​Hadith No. 1

“Agama adalah akal. Sesiapa yang tidak memilik agama, tidak ada akal baginya.”

Hadith ini batil. Diriwayatkan oleh Imam an-Nasa’i dari Abi Malik Basyir bin Ghalib. Kemudian ia berkata, “Hadith ini adalah batil dan munkar”.

Menurut saya (Syeikh Nasiruddin al-Albani), kelemahan hadith tersebut terletak pada seorang rawinya yang bernama Bisyir. Dia ini majhul (tidak dikenali).

Inilah yang dikatakan oleh al-Uzdi dan dikuatkan oleh adz-Zahabi dalam kitab Mizanul-I’tidal dan Ibn Hajar al-asqalani dalam Kitab Lisanul Mizan.

Satu hal yang perlu digarisbawahi di sini ialah bahawasanya semua riwayat/hadith yang menyatakan keutamaan akal tidak ada yang sahih. Semuanya berkisar antara dha’if dan maudhu’.

Saya telah menelusuri semua riwayat tentang masalah keutamaan akal tersebut dari awal. Diantara apa yang diutarakan oleh Abu Bakar bin Abid Dunya dalam kitab al-Aqli wa Fadhluhu. Di situ saya mendapati ia menyebutkan “Riwayat ini tidak sahih”.

Kemudian Ibnu Qayyim dalam Kitab al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dhaif halaman 25 menyatakan, ” Hadith-hadith berkenaan akal semuanya dusta belaka.”

– Silsilatul ahaadith ad-Dhaifah wal Maudhu’ah oleh Syeikh Nasiruddin al-Albani