Koleksi Nota Ilmu Agama Islam

HUKUM LELAKI BERAMBUT PANJANG & MEMAKAI TOPI KETIKA SOLAT

Sumber : Ustaz Ahmad Adnan Fadzil 

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya mempunyai sedikit kemusykilan tentang pemakaian ketika solat.Terutama pada bahagian atas kepala.

Saya seorang yang gemar berambut panjang namun ada segelintir yang mengatakan jika rambut panjang maka ia akan jatuh kepada haram. Adakah perkara ini benar?

Dan satu lagi ustaz, tentang pemakaian topi ketika solat. Saya sering memakai topi salji@snowcap yg kelihatan seperti anak tudung bagi wanita. Persoalannya adakah salah jika saya mengenakannya untuk digunakan sebagai pengganti songkok@kopiah memandangkan rambut saya panjang dan khuatir jatuh di bahagian dahi dan menyebabkan solat itu terbatal?

Itu sahaja ya Ustaz,harap ustaz sudi menjawab soalan saya ini.


Jawapan :

1. Lelaki ingin menyimpan rambut panjang; tidaklah dilarang agama kerana rambut Nabi -shallallahu ‘alaihi wasallam- sendiri adakalanya beliau membiarkan panjang hingga ke bahu. Dalam Soheh al-Bukhari, terdapat hadis dari Anas yang menceritakan; “Rambut Rasulullah mencecah dua bahunnya” (Soheh al-Bukhari, kitab al-Libas, bab al-Ja’di, hadis no. 5452).

Walau bagaimanapun, hendaklah dipastikan gaya rambut tidak menyerupai orang kafir atau orang-orang fasik kerana Nabi bersabda; “Sesiapa menyerupai suatu kaum, ia dari kalangan mereka” (HR Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar. Lihat; Sunan Abi Daud, kitab al-Libas, bab Fi Lubsi as-Syuhrah, hadis no. 3512).

2. Memakai kopiah tidaklah menjadi syarat sah solat. Harus mengerjakan solat dengan memakai kopiah atau tanpa memakainya. Begitu juga, memakai selain kopiah (topi dan sebagainya) tidaklah membatalkan solat jika ia bersih.

Walau bagaimanapun, pakaian kita ketika solat hendaklah menggambarkan kesopanan kita di hadapan Allah. Jika topi yang saudara pakai itu topi yang elok, bersih, kemas dan nampak bersopan, tidak mengapa saudara memakainya ketika solat. Jika tidak, baiklah saudara menanggalnya ketika solat sekalipun saudara solat tanpa memakai apa-apa di atas kepala. Jika saudara tetap memakainya tidaklah akan membatalkan solat, cuma masalah kesopanan sahaja.

Wallahu a’lam.

By Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

==================

[Sedikit perkongsian sebagai nota tambahan]

Al-Albani berkata: “Menurut pendapatku, sesungguhnya solat dengan tidak memakai tutup kepala hukumnya adalah makruh. Kerana merupakan sesuatu yang sangat disunnahkan jika seorang muslim melakukan solat dengan memakai busana islami yang sangat sempurna, sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadits: “Kerana Allah paling berhak untuk dihadapi dengan berhias diri.” (Permulaan hadis di atas adalah: “Jika salah seorang dari Kalian mengerjakan solat, maka hendaklah dia memakai dua potong bajunya. Kerana sesungguhnya Allah paling berhak dihadapi dengan berhias diri.”).

Diriwayatkan oleh al Thahawi di dalam Syarh Mas’aani al Aatsaar ( I / 221 ), al Thabarani dan al Baihaqi di dalam al Sunan al Kubra ( II / 236 ) dengan kualiti sanad yang hasan.

Fatwa Al Lajnah Ad Daimah lil Buhuts Al ‘Ilmiyyah wal Ifta’, no. 9422, 24/45

Perlu diketahui bahwa kepala lelaki bukanlah aurat dan tidak disunnahkan untuk ditutup baik di dalam solat mauhupun di luar solat. Boleh saja seorang lelaki mengenakan ‘imamah atau songkok dan boleh juga ia membiarkan kepalanya tanpa penutup kepala dalam solat atau pun dalam keadaan lainnya. Dan perlu diperhatikan bahwa tidak perlu sampai seseorang menjelek-jelekkan orang lain atau melecehkannya dalam hal ini.

Wallahua’lam

By Admin