Haram Main Forex Online

​GEORGE TOWN: Jabatan Mufti Perlis mengeluarkan fatwa melarang perdagangan dalam pertukaran mata wang asing atau forex dalam talian.

“Perdagangan forex dalam talian perlu dihentikan segera.

“Kami mendapati platform forex, sama ada di dalam atau luar negara adalah haram,” kata Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

Beliau berkata, secara amnya, pertukaran mata wang asing membabitkan wang tunai dibenarkan kerana ia adalah pertukaran satu-kepada-satu dan serta-merta.

Bagaimanapun, katanya, spekulasi dan perdagangan forex dalam talian adalah haram berdasarkan beberapa sebab.

Beliau berkata, sebab utama ialah kekurangan tunai sebenar melalui “hakiki atau hukmi”, selain wujud unsur riba yang dimanfaatkan melalui kemudahan seperti pinjaman tunai ditawarkan platform forex.

“Terdapat juga unsur maisir (judi) yang mendedahkan pedagang kepada peluang keuntungan atau risiko kerugian kerana bergantung kepada spekulasi pergerakan nilai mata wang di luar kawalan, usaha dan pengaruh pihak yang berurus niaga.

“Unsur gharar (ketidakpastian) juga wujud bagi penyedia platform dan kekurangan undang-undang memantau perdagangan serta kesahihan transaksi,” katanya.

Difahamkan, fatwa itu akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.