SAIRIN NAFI AHLI UMNO LOMPAT PARTI

KENINGAU: Ketua Umno Bahagian Keningau, Datuk Haji Sairin Karno menafikan kemasukan seramai 2,300 ahli Umno Keningau ke dalam Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Ahad lalu.

“Saya menafikan bahawa tidak ada ahli-ahli Umno yang telah meninggalkan parti dan menyertai Warisan seperti yang didakwa oleh segelintir bekas-bekas ahli Umno yang kecewa,” katanya di sini, kelmarin.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan kelmarin, seramai 2,300 ahli Umno Keningau telah memasuki Warisan dan borang keahlian baru Warisan telah diserahkan oleh seorang bekas ahli Umno, Dato Awang Jasrin Jait kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal di majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu sempena siri Jelajah Warisan di kampung Kauran di sini pada Ahad lalu.

Sairin memberitahu bahawa setakat ini tidak ada seorang ahli Umno Keningau yang meletakkan keahlian mereka .

Malah katanya, ahli-ahli parti di bahagian Keningau masih setia terhadap perjuangan Umno pimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.

“Beberapa Ketua cawangan Umno dan ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi di kawasan Liawan telah memaklumkan kepada saya bahawa tidak ada ahli di cawangan masing-masing yang keluar daripada Umno.

“Ini hanya tindakan beberapa orang ahli Umno yang tidak mendapat tempat dalam Umno dan hanya mengejar jawatan serta kepentingan peribadi yang keluar dari Umno menyertai Warisan untuk mendapat tempat dalam kepimpinan Warisan di kawasan Keningau,” katanya.

Sairin yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan dan Asun Liawan berkata, majoriti ahli-ahli Umno Keningau masih setia kepada Umno dan yakin dengan agenda perjuangan Umno yang nampak jelas hala tuju untuk membela rakyat.

“Saya yakin ahli-ahli Umno bahagian Keningau tidak mahu memperjudikan masa depan anak dan cucu cicit mereka dengan menyertai Warisan yang terang-terang berjuang untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau menasihat kepada ahli-ahli Umno di bahagian ini agar tidak mempercayai kemasukan 2,300 ahli Umno ke dalam Warisan kerana tidak ada bukti kesahihannya.