PENYEBARAN HADIS PALSU: KESAN NEGATIF TERHADAP UMAT ISLAM

Greensilverblue
17 Januari 2017
Prakata
Penularan penyebaran hadis-hadis palsu dalam kalangan masyarakat islam bukanlah satu perkara baru. Malah, masalah ini telahpun wujud pada zaman sahabat lagi dimana terdapat beberapa hadis-hadis palsu direka demi kepentingan masing-masing pada ketika itu .
Syeikh Dr. Mustafa al-Siba’i di dalam bukunya, al-Sunnah wa Makanatuha fi Tasyri’ al-Islami. Dan juga Syeikh Nur ad-Din dalam bukunya Manhaj al-Naqd fi ‘Ulum al-Hadith menyenaraikan beberapa faktor yang mendorong segelintir pihak mencipta hadis palsu iaitu :-
  1. Untuk memudahkan tujuan (taqarub) mereka bagi dalam memastikan kehampiran diri mereka kepada Allah SWT, khususnya kepada golongan yang menisbahkan diri mereka kepada sifat kezuhudan dan kesufian. Misalnya tentang penciptaan hadis tentang kelebihan surah-surah dalam al-Quran oleh Abu ‘Ismah Nuh Bin Abi Maryam. Semata-mata untuk menarik kembali minat masyarakat dalam membaca al-Quran serta memberi perhatian terhadap isi kandungannya.
  2. Untuk merosakkan agama dan membuatkan umat islam menjadi ragu-ragu terhadap ajarannya, sepertimana yang pernah dilakukan oleh golongan munafik yang benci terhadap agama islam. Mereka ialah, Abd al-Karim bin Abi al-Auja’ dan Muhammad bin Said al-Maslub yang telah menghasilkan sebanyak lebih kurang daripada 4,000 hadis palsu.
  3. Faktor berkaitan sikap obses atau taksub kepada mazhab, kabilah, bangsa, bahasa atau negeri.
  4. Faktor yang disebabkan oleh pertelingkahan politik, sepertimana yang banyak berlaku dalam golongan syiah khususnya dalam melaungkan tentang kelebihan Ahlul Bait sehinggakan golongan ini sanggup menghina dan mencerca para sahabat khasnya Abu Bakar, Umar, Muawiyah dan ramai lagi.
  5. Demi untuk mengaut keuntungan dan mendapatkan harta benda serta memperolehi pangkat dan juga gelaran.
Hukum Menyebarkan Hadis Palsu.
Menyebarkan atau menyampaikan hadis yang umum diketahui bahawa hadis tersebut adalah palsu, maka hukumnya adalah haram. Dan, seseorang yang menyampaikannya hadis palsu tanpa menyatakan kepalsuan hadis yang disampaikannya, maka dia berdosa.
Keterangan ini berasakan daripada amaran yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW, sepertimana yang diriwayatkan oleh Muslim di dalam Sahihnya, bahawa Rasulullah SAW berkata ;
من حدث عنى بحديث يرى أنه كذب فهو أحد
الكاذبين
“sesiapa yang menyebut hadis daripada ku sedangkan dia menyangka itu adalah dusta, maka dia termasuk salah seorang pendusta”
Sama ada ianya berkaitan dengan hukum-hakam, kisah atau riwayat, sejarah, tujuan tarhib untuk menakut-nakutkan masyarakat terhadap maksiat, targhib untuk menggalakkan ibadah dan sebagainya.
Ibn Solah di dalam bukunya, ‘Ulum al-Hadith menyatakan ;
tidak halal bagi sesiapa yang mengetahui ia adadalah hadis palsu untuk menyampaikannya dalam apa bentuk sekalipun, kecuali disertai dengan menerangkan kepakarannya
Terdapat banyak kesan negatif hasil penyebaran hadis palsu dan sekiranya tidak dibendung, ianya akan memberi imej yang buruk terhadap kemurnian agama Islam serta kewibawaan yang disampaikannya.
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di dalam bukunya, Hadis Palsu : Kesan Terhadap Imej Islam menyenaraikan beberapa impak negatif berkenaan, antaranya seperti yang berikut :-
  • Merosakkan aqidah Islam yang murni.
  • Menjatuhkan nilai kewibawaan agama Islam
  • Menjadikan nas-nas Islam saling bercanggah dan bertentangan.
  • Menjadikan hadis bercanggah dengan realiti logik dan kewarasan akal.
  • Menjadikan sebagai pencetus bercambahnya aliran dan pemikiran sesat dan terpesong dari landasan agama Islam yang sebenar.
  • Penyebab kepada kemunduran dan kesusahan terhadap urusan umat Islam.
  • Menjatuhkan imej tokoh-tokoh agama serta pemimpin-pemimpin umat Islam.
  • Memalingkan masyarakat daripada kepelbagaian sumber sunnah-sunnah baginda Rasulullah SAW yang sahih.
 
Penutup.
Kesucian dan ketulenan hadis haruslah dipelihara dan ianya menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam khususnya generasi belia, bagi memastikan sumbangan dan pengorbanan ulama-ulama silam dalam menjaga kesucian serta ketulenan hadis-hadis daripada baginda Nabi SAW dapat diteruskan kesinambungannya.
Pihak kerajaan Malaysia dan juga melalui inisiatif agensi yang berkaitan telah pun melancarkan ‘Kempen Semak Hadis Sebelum Sebar‘ untuk memastikan ketulenan sunnah Rasulullah SAW sentiasa terpelihara dan sekaligus menjadi wacana masyarakat Islam dalam membuang kejahilan terhadap isu penyebaran hadis palsu.
Perlu difahami bahawa fungsi utama hadis adalah untuk menghuraikan ayat-ayat yang disebut di dalam al-Quran dan tidak ada jalan lain melainkan keperluan merujuk penjelasannya (al-Quran) berdasarkan keterangan yang diperolehi daripada hadis. Inilah peranan Rasulullah SAW tatkala menerangkan ayat-ayat al-Quran sebenarnya adalah daripada perintah Allah SWT sendiri. Hal ini dinyatakan sebagaimana Firman-Nya dalam Surah an-Nahl pada ayat ke-44 ;
Allah SWT berfirman:
 وَأَنْزَلْنَآ إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
” Dan kami turunkan kepadamu al-Dzikr, supaya kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang diturunkan kepada mereka supaya mereka memikirkannya “
Rujukan ;
» [40 Hadis Palsu dan Lemah Popular, Abdul Razak Muthalib.
Advertisements