HUKUM LELAKI BERAMBUT PANJANG & MEMAKAI TOPI KETIKA SOLAT

Sumber : Ustaz Ahmad Adnan Fadzil 

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya mempunyai sedikit kemusykilan tentang pemakaian ketika solat.Terutama pada bahagian atas kepala. 

Saya seorang yang gemar berambut panjang namun ada segelintir yang mengatakan jika rambut panjang maka ia akan jatuh kepada haram. Adakah perkara ini benar?

Dan satu lagi ustaz, tentang pemakaian topi ketika solat. Saya sering memakai topi salji@snowcap yg kelihatan seperti anak tudung bagi wanita. Persoalannya adakah salah jika saya mengenakannya untuk digunakan sebagai pengganti songkok@kopiah memandangkan rambut saya panjang dan khuatir jatuh di bahagian dahi dan menyebabkan solat itu terbatal?

Itu sahaja ya Ustaz,harap ustaz sudi menjawab soalan saya ini.


Jawapan :

1. Lelaki ingin menyimpan rambut panjang; tidaklah dilarang agama kerana rambut Nabi -shallallahu ‘alaihi wasallam- sendiri adakalanya beliau membiarkan panjang hingga ke bahu. Dalam Soheh al-Bukhari, terdapat hadis dari Anas yang menceritakan; “Rambut Rasulullah mencecah dua bahunnya” (Soheh al-Bukhari, kitab al-Libas, bab al-Ja’di, hadis no. 5452). 

Walau bagaimanapun, hendaklah dipastikan gaya rambut tidak menyerupai orang kafir atau orang-orang fasik kerana Nabi bersabda; “Sesiapa menyerupai suatu kaum, ia dari kalangan mereka” (HR Imam Abu Daud dari Ibnu ‘Umar. Lihat; Sunan Abi Daud, kitab al-Libas, bab Fi Lubsi as-Syuhrah, hadis no. 3512).

2. Memakai kopiah tidaklah menjadi syarat sah solat. Harus mengerjakan solat dengan memakai kopiah atau tanpa memakainya. Begitu juga, memakai selain kopiah (topi dan sebagainya) tidaklah membatalkan solat jika ia bersih. 

Walau bagaimanapun, pakaian kita ketika solat hendaklah menggambarkan kesopanan kita di hadapan Allah. Jika topi yang saudara pakai itu topi yang elok, bersih, kemas dan nampak bersopan, tidak mengapa saudara memakainya ketika solat. Jika tidak, baiklah saudara menanggalnya ketika solat sekalipun saudara solat tanpa memakai apa-apa di atas kepala. Jika saudara tetap memakainya tidaklah akan membatalkan solat, cuma masalah kesopanan sahaja.

Wallahu a’lam.

By Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.

  ==================

[Sedikit perkongsian sebagai nota tambahan]

Al-Albani berkata: “Menurut pendapatku, sesungguhnya solat dengan tidak memakai tutup kepala hukumnya adalah makruh. Kerana merupakan sesuatu yang sangat disunnahkan jika seorang muslim melakukan solat dengan memakai busana islami yang sangat sempurna, sebagaimana yang telah disebutkan dalam hadits: “Kerana Allah paling berhak untuk dihadapi dengan berhias diri.” (Permulaan hadis di atas adalah: “Jika salah seorang dari Kalian mengerjakan solat, maka hendaklah dia memakai dua potong bajunya. Kerana sesungguhnya Allah paling berhak dihadapi dengan berhias diri.”).

Diriwayatkan oleh al Thahawi di dalam Syarh Mas’aani al Aatsaar ( I / 221 ), al Thabarani dan al Baihaqi di dalam al Sunan al Kubra ( II / 236 ) dengan kualiti sanad yang hasan.

Fatwa Al Lajnah Ad Daimah lil Buhuts Al ‘Ilmiyyah wal Ifta’, no. 9422, 24/45

Perlu diketahui bahwa kepala lelaki bukanlah aurat dan tidak disunnahkan untuk ditutup baik di dalam solat mauhupun di luar solat. Boleh saja seorang lelaki mengenakan ‘imamah atau songkok dan boleh juga ia membiarkan kepalanya tanpa penutup kepala dalam solat atau pun dalam keadaan lainnya. Dan perlu diperhatikan bahwa tidak perlu sampai seseorang menjelek-jelekkan orang lain atau melecehkannya dalam hal ini.

Wallahua’lam

By Admin 

​Assalamualaikum wbt,Boleh al-Fadhil SS Mufti berikan penjelasan berkenaan hukum isbal bagi lelaki?

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Dalam perbahasan fiqh, perkataan “isbal” boleh merujuk kepada pelbagai maksud. Sebahagian ulama merujuk istilah ini kepada perbuatan melepaskan tangan sewaktu membaca al-Fatihah semasa solat. Inilah pegangan sebahagian ulama dalam mazhab Maliki yang berbeza dengan qaul jumhur yang meletakkan hukum sunat untuk bersedekap, yakni meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri.

Isbal juga, kebiasaannya, merujuk kepada perbuatan seseorang melabuhkan pakaiannya, seperti jubah atau seluar, melebihi paras buku lali ke bawah. Perbuatan ini tidak ada masalah bahkan digalakkan bagi kaum wanita bagi menutup aurat mereka, tetapi bagi kaum lelaki, ulama berbeza pandangan.

Daripada Abu Dzar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Tiga jenis manusia yang Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka pada Hari Kiamat, tidak juga melihat (yakni, mengendahkan) kepada mereka, tidak menyucikan mereka, dan bagi mereka azab yang pedih. Rasulullah SAW menyebut itu tiga kali. Lalu Abu Dzar berkata: Habislah dan rugilah mereka! Siapa mereka itu wahai Pesuruh Allah? Jawab Baginda: Orang yang melakukan isbal, dermawan (yang berbangga-bangga dengan pemberian), dan peniaga barang yang bersumpah palsu. (Hadis riwayat Muslim:106)

Sebahagian ulama menyebut sebab pengharaman isbal kerana perbuatan ini merujuk kepada suatu adat jahiliyyah bagi golongan bangsawan yang melabuhkan pakaian mereka meleret ke belakang sampaikan dijinjing oleh hamba-hamba mereka. Sifap ini melambangkan ketakburan dan menunjuk-nunjuk kekayaan. Sifat ini juga menafikan sifat tawaduk.

Ini bertepatan dengan firman Allah Taala:

Maksudnya: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (Surah al-Isra’, 17:37)

Perlu diperhatikan di sini adakah larangan ini menunjukkan larangan bersifat ta`abbudi seperti ibadah khas atau mahdhah atau dalam perkara keduniaan yang terikat dengan illah. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menghuraikan perkara ini dalam kitabnya Bagaimana Kita Berinteraksi dengan Sunnah Nabawiyyah halaman 124-125, dengan menaqalkan hadis lain daripada Abdullah bin Umar R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Barangsiapa yang melabuhkan  pakainnya secara sombong, maka Allah tidak akan melihat kepadanya pada Hari Kiamat.” Maka berkata Abu Bakar (R.A): “Sesungguhnya sebelah pakaianku meleret ke bawah jika aku tidak menjaganya.” Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya engkau tidak melakukan demikian itu dengan kesombongan.” (Hadis riwayat al-Bukhari :3665).

Al-Qaradhawi juga menyebut tarjih yang dilakukan oleh Imam Nawawi dan Imam Ibn Hajar al-Asqalani bahawa perbuatan haramnya isbal itu dikaitkan dengan sifat (خيلاء) yakni menyombong.

Justeru, apabila dibaca nas-nas yang berkaitan, kesimpulan yang diperoleh ialah, jika kebiasaan seseorang, dan masyarakatnya, melakukan isbal tanpa bertujuan sombong dan kemegahan maka ini terkecuali daripada larangan dalam hadis tersebut.  

Wallahua`lam

#SS Mufti Wilayah Persekutuan 

Sumber: Al Kafili Al Fatawi 

Haram Main Forex Online

​GEORGE TOWN: Jabatan Mufti Perlis mengeluarkan fatwa melarang perdagangan dalam pertukaran mata wang asing atau forex dalam talian.

“Perdagangan forex dalam talian perlu dihentikan segera.

“Kami mendapati platform forex, sama ada di dalam atau luar negara adalah haram,” kata Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

Beliau berkata, secara amnya, pertukaran mata wang asing membabitkan wang tunai dibenarkan kerana ia adalah pertukaran satu-kepada-satu dan serta-merta.

Bagaimanapun, katanya, spekulasi dan perdagangan forex dalam talian adalah haram berdasarkan beberapa sebab.

Beliau berkata, sebab utama ialah kekurangan tunai sebenar melalui “hakiki atau hukmi”, selain wujud unsur riba yang dimanfaatkan melalui kemudahan seperti pinjaman tunai ditawarkan platform forex.

“Terdapat juga unsur maisir (judi) yang mendedahkan pedagang kepada peluang keuntungan atau risiko kerugian kerana bergantung kepada spekulasi pergerakan nilai mata wang di luar kawalan, usaha dan pengaruh pihak yang berurus niaga.

“Unsur gharar (ketidakpastian) juga wujud bagi penyedia platform dan kekurangan undang-undang memantau perdagangan serta kesahihan transaksi,” katanya.

Difahamkan, fatwa itu akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.

Hukum Pertandingan Memancing 

​Ustaz sudah dijelaskan bahawa sebarang pertandingan yang menggunakan wang penyertaan untuk hadiah adalah berjudi dan haram, antaranya adalah pertandingan memancing. Ditempat saya terdapat sebuah kolam ikan yang menjalankan perniagaan dimana setiap pemancing dikenakan bayaran sebanyak RM20.00 dan ianya seperti kebanyakan kolam lain. Tetapi pemilik kolam ini akan memberi hadiah kepada pemancing yang memancing ikan terberat dan teringan iaitu beberapa peratus dari kutipan yang diperolehi pada hari tersebut. Keadaan ini adalah bagi setiap hari dan tidak dihadkan pada hari tertentu. Peratus hadiah juga tetap dan tidak berubah mengikut hari atau keramaian. Waktu memancing hanya di sebelah malam iaitu pada pukul 8.00pm – 12.00pm dan ini dapat memastikan semua yang memancing berhak ke atas hadiah tersebut. Ikan yang dapat dipanjing adalah milik pemancing. Operasi pemberian hadiah ini tidaklah saya ketahui samada sejak kolam ini dibuka atau selepas menghadapi masalah kehadiran pemancing kerana sejak saya tahu ujudnya kolam ini operasinya sedemikian rupa. Soalannya :

1. Adakah hasil hadiah ini termasuk dalam kategori judi?

2. Adakah dengan niat saya masuk untuk dapatkan hadiah tersebut dengan memilih hari orang ramai memancing sebagai judi? Jazakallah dan maaf atas panjangnye cerita sebab tak tau nak ringkaskan.
Jawapan;

Bayaran RM20 itu yang menjadi persoalan;

1. Jika tujuannya sebagai bayaran sewa tempat dan perkhidmatan, insya Allah ia adalah harus. Harus seseorang menyewakan rumah, tanah dan benda-benda lain miliknya untuk orang lain bagi tujuan yang diharuskan Syarak seperti untuk kediaman, pejabat, kilang, tempat riadhah dan reakresi dan sebagainya.

2. Jika RM20 itu adalah sebagai bayaran kepada ikan yang mungkin diperolehi pengail dari kolamnya, maka muamalat tersebut terbabit dengan gharar yang diharamkan Syarak. Menurut hadis dari Abu Hurairah r.a.; “Rasulullah s.a.w. menegah daripada jualan secara gharar” (HR Imam Ahmad dan Muslim). Gharar ialah menjalankan urus-niaga dalam kesamaran iaitu tanpa kepastian barang/produk yang terlibat dan harganya sama ada oleh penjual atau pembeli. Dalam kes di atas, orang yang membayar RM 20 itu belum pasti jumlah ikan yang bakal diperolehinya; banyak atau sikit atau mungkin juga tidak dapat langsung. Menurut Imam Ibnu Qaiyim; “Gharar ialah suatu yang tidak dapat dipastikan sama ada ia wujud atau tidak. Maka ditegah jualan gharar (yakni jualan suatu yang tidak pasti) kerana ia tergolong dalam jenis qimar (pertaruhan) yang merupakan perjudian…di mana terjadinya qimar (pertaruhan) itu kerana satu pihak sudah pasti akan memperolehi harta tukarannya, sementara satu pihak lagi belum pasti sama ada akan memperolehi harta tukarannya atau tidak. (Lihat; Mu’jam Al-Mustalahat Al-Iqtisadiyyah Fi Lughatil Fuqahak, Dr. Nazih Hamad)

3. Jika RM 20 itu tujuannya ialah untuk hadiah, yakni diambil darinya (keseluruhan atau sebahagiannya) untuk pemberian hadiah kepada pemenang, maka ia adalah pertaruhan atau perjudian yang dilarang Syarak sebagaimana dijelaskan sebelum ini.
By Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

PERHIASAN; BILA WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT

​Ustaz, adakah barang emas yang saya pakai dikenakan zakat? Bagaimana cara mengira zakatnya?
Jawapan;

Menurut jumhur ulamak (mazhab Maliki, Syafiie dan Hanbali); emas yang dipakai wanita sebagai perhiasan -walaupun dipakai sekali dalam setahun- tidak dikenakan zakat, kecuali jika berlebihan barulah dikenakan zakat. Maksud berlebihan ialah yang melebihi kadar yang biasa dipakai oleh wanita-wanita setempat (yakni kadar uruf setempat), iaitu yang diputuskan oleh fatwa negeri-negeri seperti berikut;

1. Selangor; 800 gram

2. Wilayah Pesekutuan; 150 gram emas

3. Johor; 850 gram emas

4. Pulau Pinang; 165 gram

5. Sabah; 152 gram.

6. Negeri Sembilan; 200 gram

7. Kedah; 85 gram

8. Perak; 500 gram

9. Trengganu; 850 gram

10. Melaka; 180 gram

11. Kelantan; tiada ‘uruf

12. Pahang; 500 gram

13. Perlis; tiada penetapan ‘uruf (kerana fatwa negeri Perlis memakai pandangan Imam Abu Hanifah yang mewajibkan zakat ke atas semua emas yang dimiliki termasuk perhiasan).

Yang perlu dikira dalam penentuan kadar uruf itu ialah emasnya sahaja, tidak termasuk batu permatanya. Maka jika perhiasan emas yang dimiliki dan dipakai melebihi kadar di atas (mengikut negeri masing-masing) wajiblah dikeluarkan zakat ke atas kadar berlebihan bila cukup tempoh tahunannya. Kadar yang wajib dikeluarkan ialah; 2.5%. 

Contohnya; bagi wanita yang tinggal di Wilayah Persekutuan, katalah dia memiliki emas yang dipakai yang berat keseluruhan; 200 gram, maka perkiraan zakatnya ialah;

* 250 gram emas (berat emas yang dipakai) – 150 gram emas (iaitu kadar pemakaian uruf) = 100 gram (perhiasan yang masuk dalam hitungan zakat). 

Kadar zakat dikenakan; 100 gram x harga semasa emas x 2.5 %.

Katakanlah; harga semasa emas bagi 1 gram ialah RM 150, maka kadar zakatnya ialah;

100 gram emas x RM 150 x 2.5% = RM 375.

Adapun perhiasan emas yang tidak dipakai dalam setahun -walaupun sekali- ia mengambil hukum emas simpanan dan wajib dibayar zakat iaitu dengan dihitung bersama emas-emas yang lain jika ada (dinar emas, jongkong emas, emas perhiasan yang berlebihan tadi dan sebagainya) dan aset kewangan yang lain (saham, wang simpanan dan sebagainya) dan dikeluarkan zakatnya 2/5% jika nilai keseluruhannya menyamai atau melebihi 85 gram emas (iaitu kadar nisab zakat emas).

Huraian di atas adalah mengikut pandangan jumhur mazhab. Adapun menurut mazhab Hanafi, keseluruhan emas dikenakan zakat termasuk perhiasan sama ada perhiasan yang dipakai atau disimpan, yang berada dalam kadar ‘uruf tadi atau yang berlebihan. Untuk membaca lebih lanjut perbahasan ulamak tentangnya, sila baca jawapan saya sebelum ini; (PERHIASAN; BILA WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT?).
Rujukan;

1. Zakat Selangor (http://www.zakatselangor.com.my/jenis-jenis-zakat/zakat-harta/zakat-emas-perak/).
2. Wilayah Persekutuan (https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-zakat/zakat-emas)

3. Zakat Johor (http://www.maij.gov.my/?page_id=110).

4. Zakat Pulau Pinang (http://www.zakatpenang.com/zpp/index.php/2013-06-30-10-54-31/jenis-zakat/zakat-emas-perak).

5. Zakat Sabah (http://www.zakat.sabah.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=30&Itemid=157&lang=en).

6. Zakat Negeri Sembilan (http://www.zakatns.com.my/v5/info-zakat/jenis-zakat/zakat-emas-dan-perak).

7. Zakat Kedah (http://www.zakatkedah.com/services/zakat-emas/).

8. Zakat Perak (http://www.maiamp.gov.my/maiamp2/index.php/zakat/kalkulator/kalkulator-zakat-emas-perak.html).

9. Zakat Terengganu (http://www.maidam.gov.my/index.php/index.php/perkhidmatan-kami/pungutan-zakat/384-zakat-emas).

10. Zakat Melaka (http://www.izakat.com/index.php?option=com_content&view=article&id=7&Itemid=12&lang=bm).

11. Fatwa zakat emas Perlis (http://mufti.perlis.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=66:muamalat-nilai-emas-yang-boleh-dihukum-pakaian&catid=34:fatwa-muamalat&Itemid=92

APAKAH MAKSUD BERSEDERHANA DALAM ISLAM?

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya agama ini mudah. Tidaklah seseorang memberat-beratkannya melainkan dia akan tewas. Lakukanlah amalan dengan cara yang benar, lakukanlah semampu kalian, dan terimalah berita gembira. Mohonlah pertolongan (Allah) pada waktu pagi, petang dan akhir waktu malam.

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ilm, Bab ad-Din Yusr, hadis no: 39]
Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari menerangkan:

Sentiasa melakukan sesuatu dengan cara yang betul tanpa melampaui batas dan tidak juga dalam keadaan sambil lewa. Ahli bahasa berkata: Al-Saddad ialah sederhana dalam beramal. Jika kalian tidak mampu melakukannya dengan sempurna, maka lakukanlah dengan apa mendekat kepada kesempurnaan.
Ibn Al-Munir berkata:

Pada hadis ini terdapat satu petanda daripada tanda-tanda kenabian. Kita dan orang-orang sebelum kita telah melihat bahawa setiap orang yang melampau dalam beragama akan berhenti daripada beramal.

Bukanlah yang dimaksudkan di sini larangan daripada berusaha mendapatkan kesempurnaan dalam ibadah. Sesungguhnya menyempurnakan ibadah adalah daripada perkara yang terpuji.

Akan tetapi ia adalah larangan kepada melampaui batas yang membawa kepada bosan untuk beribadah, atau melampau dalam melakukan perkara sunat sehingga membawa kepada meninggalkan perkara yang lebih utama, atau menyebabkan terbabasnya perkara yang fardhu daripada waktunya seperti orang yang solat sunat pada keseluruhan malam lalu pada hujung malam dia tertidur sehingga menyebabkan dia tidak terjaga untuk bangun solat Subuh berjemaah, atau sehingga dia keluar daripada waktu solat yang afdhal, atau sehingga terbitnya matahari yang menandakan tamatnya waktu solat fardhu.
Kesimpulan:

1- Kita disuruh bersederhana dalam beragama.

2- Maksud sederhana ialah mentaati Allah dengan cara yang betul dan disyariatkan.

3- Walaupun kita tahu kita tidak akan sempurna, kita disuruh berusaha untuk mentaati Allah sebaik yang mungkin.

4- Bersederhana bukanlah bermaksud kita perlu ikut hawa nafsu dan sikap malas kita.
Wallahua’lam.

KENAIKAN HARGA MINYAK DAN HUKUM TAS’IR (KAWALAN HARGA OLEH KERAJAAN)

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil 

Saya terbaca tulisan seseorang yang mendakwa memperjuangkan dakwah sunnah. Dia beranggapan harga minyak dan barang naik bukan menjadi kesalahan kerajaan. Beliau berhujah dengan sebuah hadis, daripada Anas (bin Malik radhiallahu ‘anh), dia berkata: Pada masa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, harga barangan asasi naik. Maka para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Tetapkanlah harga barang untuk kami.” Rasulullah menjawab:

“Sesungguhnya Allah, Dia-lah yang menetapkan harga, menyempitkan, melapangkan dan merezekikan. Sesungguhnya aku berharap ketika aku berjumpa dengan tuhanku (Allah), tidak ada seorangpun yang menuntut kepadaku kerana suatu kezaliman yang menyangkut urusan darah (nyawa) mahupun harta (ekonomi).” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1314 (Kitab al-Buyu’, Bab berkenaan penetapan harga)]

Betulkah pemahaman beliau tentang hadis tersebut?

Jawapan;

Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ala Rasulillah.

Hadis tersebut tidak dipertikai kesahihannya, Namun ustaz tersebut memahami hadis secara fardie, tanpa memahaminya secara bersama dengan hadis-hadis yang lain, begitu juga tidak melihat lingkungan hadis dan illahnya. Imam Ibnu Taimiyyah sendiri (begitu juga muridnya Ibnul Qayyim) memfatwakan; at-tas’ir (kawalan harga) oleh kerajaan dibolehkan –malah dituntut- pada waktu-waktu tertentu  (rujuk; al-Hisbah, Ibnu Taimiyyah, hlm. 21. Majmu’ al-Fatawa, Ibnu Taimiyyah, 28/75). Nabi SAW sendiri  –walaupun dalam hadis tadi enggan melakukan tas’ir-, namun baginda sendiri pernah menyuruhnya.

Nabi SAW pernah bersabda berkenaan hamba yang dimiliki beberapa tuan (satu pihak dari tuannya ingin membebaskannya dan pihak lain tidak ingin membebaskannya kecuali dengan bayaran), kata Nabi SAW; “Sesiapa yang memerdekakan bahagiannya dari seorang hamba, jika ia memiliki wang yang membolehkannya membayar harga hamba itu sepenuhnya, hendaklah ditetapkan untuk hamba itu harga misil (yakni harga sebanding), kemudian dibayar harga itu kepada rakan-rakan kongsinya mengikut kadar pemilikan masing-masing supaya hamba itu dapat bebas di tangannya. Jika ia tidak memiliki wang untuk membeli hamba itu, hamba itu merdeka sekadar yang dimerdekakannya sahaja (yakni menjadi hamba muba’adh; hamba merdeka separuh)” (Soheh Muslim; 1501/1, dari Ibnu ‘Umar RA).

Hadis ini menunjukkan arahan tas’ir (penetapan harga) dari Nabi SAW, kerana baginda menetapkan hamba itu dinilai dengan harga misil. Baginda tidak berkata; hendaklah rakan-rakan kongsinya menetapkan harga mengikut yang mereka mahu kerana hamba itu adalah milik mereka bersama. Hadis ini menunjukkan bahawa tas’ir bukanlah haram sepenuhnya, ada ketikanya ia disyariatkan kerana jika haram sepenuhnya sudah tentu Nabi SAW tidak akan melakukannya. Antara factor keharusan tas’ir ialah apabila diperlukan untuk maslahah masyarakat, sebagaimana kaedah; “maslahah awam diutamakan dari maslahah khusus”. Jika peniaga-peniaga menetapkan harga yang tidak munasabah semata-mata ingin mengaut untung lebih dan tindakan mereka menekan masyakat pengguna, pada ketika itu para ulamak memberi fatwa; harus kerajaan masuk campur untuk menjaga maslahah masyarakat. Walaupun tindakan kerajaan menafikan hak segolongan masyarakat (iaitu para peniaga) untuk mendapat keuntungan besar tetapi penafian itu demi menjaga maslahah yang lebih besar iaitu masyarakat umum. Amalan Nabi SAW tadi membenarkan tindakan ini.

Imam Ibnul Qayyim menjelaskan; “Arahan Nabi SAW supaya hamba itu dinilai mengikut harga misil (tidak boleh dijual dengan nilai lebih dari itu) itu adalah tas’ir pada hakikatnya. Maka jika Syarak (iaitu Nabi SAW) mengharuskan tas’ir untuk maslahah khusus (iaitu maslahah seorang hamba; untuk memudahkan pembebasannya dengan menetapkan harga misil supaya dapat dibeli oleh orang yang ingin membebaskannya), maslahah orang ramai untuk menjamin mereka dapat memiliki (barang-barang keperluan mereka) adalah lebih besar dari itu” (rujuk; al-Turuq al-Hukumiyyah, Ibnul Qayyim, hlm. 217-218. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 11/310, perkataan; ‘Tas’ir’).

Kerajaan dalam situasi di atas menjadi penimbang antara dua pihak iaitu antara peniaga dan pengguna, antara maslahah khusus dan maslahah umum. Kerajaan tidak boleh sewenang-wenang melakukan tas’ir tanpa ada maslahah yang lebih besar kerana ia akan menzalimi satu pihak tanpa hak. Namun dalam kes harga minyak, ia membabitkan kerajaan sendiri. Kerajaan yang memiliki minyak dan kerajaan yang bertindak sebagai peniaga (menjualnya kepada rakyat), maka  tiada siapa yang dizalimi jika kerajaan melakukan tas’ir ke atas harga minyak demi menjaga kebajikan rakyatnya. Maka penggunaan hadis tadi oleh ustaz tersebut bagi kes harga minyak adalah tidak kena pada tempatnya. Namun kita jelaskan juga di sini untuk membetulkan kekeliruannya.

Wallahu a’lam.