APAKAH MAKSUD BERSEDERHANA DALAM ISLAM?

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

“Sesungguhnya agama ini mudah. Tidaklah seseorang memberat-beratkannya melainkan dia akan tewas. Lakukanlah amalan dengan cara yang benar, lakukanlah semampu kalian, dan terimalah berita gembira. Mohonlah pertolongan (Allah) pada waktu pagi, petang dan akhir waktu malam” 

[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ilm, Bab ad-Din Yusr, hadis no: 39]

Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari menerangkan:

Bersederhana itu bermaksud sentiasa melakukan sesuatu dengan cara yang betul tanpa melampaui batas dan tidak juga dalam keadaan sambil lewa. 

Ahli bahasa berkata: Al-Saddad ialah sederhana dalam beramal.

 Jika kalian tidak mampu melakukannya dengan sempurna, maka lakukanlah dengan apa mendekat kepada kesempurnaan.

Ibn Al-Munir berkata:

Pada hadis ini terdapat satu petanda daripada tanda-tanda kenabian. Kita dan orang-orang sebelum kita telah melihat bahawa setiap orang yang melampau dalam beragama akan berhenti daripada beramal.

Bukanlah yang dimaksudkan di sini larangan daripada berusaha mendapatkan kesempurnaan dalam ibadah. Sesungguhnya menyempurnakan ibadah adalah daripada perkara yang terpuji.

Akan tetapi ia adalah larangan kepada melampaui batas yang membawa kepada bosan untuk beribadah, atau melampau dalam melakukan perkara sunat sehingga membawa kepada meninggalkan perkara yang lebih utama, atau menyebabkan terbabasnya perkara yang fardhu daripada waktunya seperti orang yang solat sunat pada keseluruhan malam lalu pada hujung malam dia tertidur sehingga menyebabkan dia tidak terjaga untuk solat subuh berjemaah, atau sehingga dia keluar daripada waktu solat yang afdhal, atau sehingga terbitnya matahari yang menandakan tamatnya waktu solat fardhu.

Kesimpulan:

1- Kita disuruh bersederhana dalam beragama.

2- Maksud sederhana ialah mentaati Allah dengan cara yang betul dan disyariatkan.

3- Walaupun kita tahu kita tidak akan sempurna, kita disuruh berusaha untuk mentaati Allah sebaik yang mungkin.

4- Bersederhana bukanlah bermaksud kita perlu ikut hawa nafsu dan sikap malas kita.

Wallahua’lam.

Advertisements